Monday, 21 January 2013

Bantuan Wang Awal Persekolahan

Penyampaian Bantuan Wang Awal Persekolahan kepada semua pelajar telah diadakan pada 21 Januari 2013 dan telah disempurnakan oleh YB.Tuan Hj.Zawawi Ismail, ADUN Kuala Berang. Majlis ini juga dihadiri sama oleh Tuan Haji Safrudin Ali Husin, Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu.
 Turut sama dalam majlis penerimaan bantuan ini ialah pelajar dari sekolah berdekatan iaitu SK.Tapu dan SK.Pasir Tinggi. Semua pelajar telah diberikan bantuan sebanyak RM100 setiap seorang. Kedatangan ibubapa pada majlis ini amatlah membanggakan dan telah memeriahkan lagi majlis yang telah diadakan.

                      
Sepanjang majlis diadakan

Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah

                                

Telah diadakan pada hari Khamis, 17 Januari 2013. Tuan Pengetua telah melepaskan pelajar untuk memulakan larian sejauh 7 km. Kategori bawah 18 tahun lelaki telah dimenangi oleh Nasarudin Abdullah dari Tingkatan 5, Kategori bawah 15 tahun lelaki pula dimenangi oleh Naim Jusoh dari Tingkatan 3 sementara bagi kategori perempuan pula dimenangi oleh Nor Jannah ( 18 tahun) dan Nurul Asmainey ( 15 tahun ). Rumah Hijau masih mengekalkan kejuaraan keseluruhan diikuti oleh Rumah Kuning, Rumah Merah dan Rumah Biru.

Wednesday, 31 October 2012

JAMUAN AKHIR TAHUN



Kelab Keluarga SMK Tapu telah mengadakan jamuan akhir tahun pada 30 Oktober yang lepas bertempat di Bayu Restoran, Park Royal, Kuala Terengganu. Semua guru telah diraikan dalam majlis tersebut dan majlis penyampaian cenderamata kenangan dari Kelab Keluarga 2012 turut disampaikan. Di akhir majlis, acara cabutan bertuah turut diadakan dan pelbagai bentuk hadiah disediakan untuk dimenangi oleh guru dan staf SMK Tapu.
Majlis ini juga turut dihadiri oleh Naib Yang Dipertua PIBG SMK Tapu, Tn.Hj.Mat Bidin Abdullah. Semoga di tahun akan datang majlis seperti ini akan dapat diadakan lagi untuk mengeratkan semua kakitangan SMK Tapu.

                                   Permata indah diikat suasa,
                                   tersarung kemas dijari putera;
                                   hidangan tersedia menjamah rasa,
                                   disantap enak penuh selera.

Sunday, 30 September 2012

Koir Sempena Pertandingan Kebersihan Peringkat Daerah

27 September 2012, Khamis. - Satu pertandingan nyanyian kumpulan koir bagi sekolah-sekolah daerah Hulu Terengganu telah diadakan. Pertandingan ini diadakan di Dewan SMK.Bukit Diman, Ajil, Terengganu. Semua 14 buah sekolah menengah daerah Hulu Terengganu telah mengambil bahagian.
SMK.Tapu telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Satu usaha dan komitmen yang baik telah ditunjukkan oleh pelajar-pelajar yang terpilih untuk mewakili sekolah. Tahniah atas kejayaan yang dicapai, semoga akan lebih berjaya di masa-masa akan datang.

Sembahyang Hajat dan Majlis Bacaan Yasin



Guru bersama ibu bapa pelajar telah mengadakan satu majlis sembahyang hajat dan bacaan yasin selepas solat maghrib pada 27 Sept 2012 , bersamaan hari Khamis malam Jumaat yang lepas. Majlis ini telah diadakan di Masjid Kg.Tapu dan mendapat kerjasama dari jawatankuasa masjid. Majlis ini diadakan untuk mendoakan kejayaan pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan PMR dan SPM tidak lama lagi. Sambutan dari ibubapa amat menggalakkan. Majlis ini berakhir selepas solat Isyak iaitu kira-kira pukul 9.00 malam.


Sambutan Hari Malaysia dan penutup Bulan Kemerdekaan telah diadakan 13 September, hari Khamis. Antara acara yang diadakan pada hari tersebut ialah Bual Bicara Kemerdekaan . Tn.Hj.Ghazali Yusof , pesara guru dan imam masjid Kg. Nasi Dingin, Kuala Berang telah dijemput bagi bual bicara tersebut dan Hj.Zubaidi bersama Pn.Chamely telah dipilih sebagai pemudahcara.
Beberapa acara persembahan pelajar juga dipertandingkan dan Tuan pengetua telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pelajar yang telah berjaya.