Wednesday 31 October 2012

JAMUAN AKHIR TAHUN



Kelab Keluarga SMK Tapu telah mengadakan jamuan akhir tahun pada 30 Oktober yang lepas bertempat di Bayu Restoran, Park Royal, Kuala Terengganu. Semua guru telah diraikan dalam majlis tersebut dan majlis penyampaian cenderamata kenangan dari Kelab Keluarga 2012 turut disampaikan. Di akhir majlis, acara cabutan bertuah turut diadakan dan pelbagai bentuk hadiah disediakan untuk dimenangi oleh guru dan staf SMK Tapu.
Majlis ini juga turut dihadiri oleh Naib Yang Dipertua PIBG SMK Tapu, Tn.Hj.Mat Bidin Abdullah. Semoga di tahun akan datang majlis seperti ini akan dapat diadakan lagi untuk mengeratkan semua kakitangan SMK Tapu.

                                   Permata indah diikat suasa,
                                   tersarung kemas dijari putera;
                                   hidangan tersedia menjamah rasa,
                                   disantap enak penuh selera.

Sunday 30 September 2012

Koir Sempena Pertandingan Kebersihan Peringkat Daerah

27 September 2012, Khamis. - Satu pertandingan nyanyian kumpulan koir bagi sekolah-sekolah daerah Hulu Terengganu telah diadakan. Pertandingan ini diadakan di Dewan SMK.Bukit Diman, Ajil, Terengganu. Semua 14 buah sekolah menengah daerah Hulu Terengganu telah mengambil bahagian.
SMK.Tapu telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Satu usaha dan komitmen yang baik telah ditunjukkan oleh pelajar-pelajar yang terpilih untuk mewakili sekolah. Tahniah atas kejayaan yang dicapai, semoga akan lebih berjaya di masa-masa akan datang.

Sembahyang Hajat dan Majlis Bacaan Yasin



Guru bersama ibu bapa pelajar telah mengadakan satu majlis sembahyang hajat dan bacaan yasin selepas solat maghrib pada 27 Sept 2012 , bersamaan hari Khamis malam Jumaat yang lepas. Majlis ini telah diadakan di Masjid Kg.Tapu dan mendapat kerjasama dari jawatankuasa masjid. Majlis ini diadakan untuk mendoakan kejayaan pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan PMR dan SPM tidak lama lagi. Sambutan dari ibubapa amat menggalakkan. Majlis ini berakhir selepas solat Isyak iaitu kira-kira pukul 9.00 malam.


Sambutan Hari Malaysia dan penutup Bulan Kemerdekaan telah diadakan 13 September, hari Khamis. Antara acara yang diadakan pada hari tersebut ialah Bual Bicara Kemerdekaan . Tn.Hj.Ghazali Yusof , pesara guru dan imam masjid Kg. Nasi Dingin, Kuala Berang telah dijemput bagi bual bicara tersebut dan Hj.Zubaidi bersama Pn.Chamely telah dipilih sebagai pemudahcara.
Beberapa acara persembahan pelajar juga dipertandingkan dan Tuan pengetua telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pelajar yang telah berjaya.

Friday 31 August 2012

Sambutan Hari Merdeka yang ke 55, Peringkat sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tapu telah diadakan pada 30 Ogos 2012, hari Khamis yang lepas. Sambutan ini diadakan di dewan terbuka sekolah dengan menyanyikan lagu patriotik seperti Lagu Tema 55 tahun Merdeka, Janji di Tepati, 31 Ogos, Warisan, Satu Malaysia dan Jalur Gemilang. Pelajar bersama-sama mengibarkan jalur gemilang.
Selain dari sambutan merdeka, pihak sekolah juga bersetuju menyambut dan mengadakan jamuan hari raya. Selaras dengan itu, Sambutan ini dinamakan sebagai 'Sambutan MerdekaRaya'. Pertandingan nyanyian lagu patriotik dan lagu raya secara karaoke diadakan. Sambutan pelajar telah memeriahkan lagi sambutan pada hari tersebut.

Pertandingan Program Pendidikan Kebersihan Sekolah-sekolah Peringkat Daerah hulu Terengganu 2012 telah diadakan pada 28 Ogos 2012, hari Selasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Berang, Kuala Berang, Terengganu. Sekolah Menengah Kebangsaan Tapu telah menghantar dua orang peserta iaitu Wan Mohd Qushairi dari Tingkatan 3 dan Mohd Nasharudin dari Tingkatan 4. Kedua peserta ini telah membawa satu lagi kejayaan kepada SMK Tapu dengan mendapat tempat sebagai Naib Johan.
Tahniah dari semua warga sekolah untuk mereka berdua.

Saturday 18 August 2012

SELAMAT HARI RAYA

MAAF ZAHIR DAN BATIN

BUAT SEMUA YANG MENGUNJUNGI BLOG INI

DARI WARGA SMK TAPU




 16 Ogos 2012, Khamis  - Majlis  Program Ihya' Ramadhan Peringkat sekolah sampai ke penghujung. Tuan Pengetua dengan rasminya menutup program tersebut. Selain itu, majlis khatam Al-Quran juga diadakan pada hari tersebut. Sebelum pelajar pulang, pelajar yang yatim dan miskin telah diberi sumbangan hamper dan duit raya. Sebagai penutup, guru berbaris untuk bersalam dengan pelajar dan pengetua seterusnya  membahagikan duit raya kepada semua pelajar yang hadir pada hari itu.

Wednesday 15 August 2012

Ceramah Motivasi


Tuan Haji Mohd Nor Ahmad, Kaunselor dari Pejabat Pelajaran Daerah Setiu, Terengganu telah dijemput untuk satu ceramah motivasi yang diadakan pada 13 Ogos 2012 yang lepas. Ceramah ini melibatkan semua guru dan pelajar.

Ihya Ramadhan


    Bacaan Yassin pada setiap hari Khamis sepanjang bulan ramadhan ini diadakan sebagai salah satu pengisian untuk Program Ihya' Ramadhan. Semua guru dan pelajar terlibat untuk majlis bacaan Yassin ini dan diketuai oleh Ustaz Hj.Syed Shukran Syed Mustafa.

Saturday 28 July 2012


Perkhemahan Tahunan Unit Beruniform 2012
SMK Tapu telah berjaya mengadakan Perkhemahan Unit Beruniform Tahunan pada 11 hingga 13 Julai 2012 yang lepas. Perkhemahan tersebut telah diadakan di Kem Kokurikulum Universiti Sultan Zainal Abidin , Merang, Setiu,
Perkhemahan Tahunan kali Ke 2 ini disertai oleh seramai 75 orang pelajar dari lima unit uniform sekolah yang terdiri daripada Kadet Bomba, Kadet Polis, Pengakap, Kadet Remaja Sekolah dan Puteri Islam. Pengetua, Tn.Hj.Shamsudin Abd.Rahman telah merasmikan perkhemahan tersebut dan bersama-sama menyertai aktiviti pelajar selama satu hari.
Antara aktiviti yang disediakan untuk pelajar antaranya tracking, aktiviti air seperti keyakinan di air, merentas sungai dan berkayak. Pelajar diajar bagaimana untuk mengendali kayak dan mempunyai keyakinan bila berada di air. Selain itu, pelajar juga didedahkan kepada aktiviti masakan rimba dan membuat gajet.Pelajar juga diberi pendedahan mengenai kedudukan planet dan bintang di cakerawala kita oleh En.Ahmad dari Balai Cerap UniSZA, Merang Setiu. Pelajar berpeluang untuk melihat Planet Zuhal menggunakan teleskop yang disediakan.
Rata-rata pelajar yang menyertai perkhemahan merasa gembira dan berpuashati dengan aktiviti yang disediakan.

Friday 27 July 2012

DISKUSI ILMU 2012

 Diskusi Ilmu - 10 Julai 2012

      SMK Tapu telah mengadakan Diskusi Ilmu pada 10 Julai yang lepas dan telah menjemput ibubapa ke sekolah untuk bersama-sama berkongsi kecemerlangan pelajar dengan pihak sekolah.
Sebelum ibubapa bertemu dengan guru kelas pelajar masing-masing, satu ceramah motivasi telah diadakan dengan menjemput motivator dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, En. Taha Sali. Ceramah beliau begitu menarik dan membuatkan ibubapa begitu teruja untuk bersoal- jawab dan ada antara ibubapa yang hadir meminta agar pihak sekolah menjemput beliau lagi sekali.
                Pelajar yang hadir ke sekolah pada hari tersebut akan dibawa pulang oleh ibubapa setelah sesi bertemu guru kelas bagi mendapat keputusan peperiksaan dan membincangkan mengenai perkembangan pembelajaran pelajar. 
                                  

Senamrobik 1Murid 1Sukan 1Malaysia


            Senamrobik 1 Murid 1 Sukan 1Malaysia telah diadakan serentak di seluruh Malaysia pada 10 Julai 2012 dan mencipta rekod untuk Malaysian Guinness Book of Record. SMK Tapu juga tidak ketinggalan bersama- sama menjayakan senamrobik 1M1S1M ini. Acara ini bermula dari pukul 8.00 pagi dengan disertai oleh semua guru, pelajar, pekerja dan tidak ketinggalan ibu bapa yang dijemput untuk sama-sama memeriahkan senamrobik pada pagi itu.
            Pelajar Sains Sukan dari Kolej Islam Sains dan Teknologi ( KIST ) Kuala Berang seramai 11 orang bersama seorang pensyarah telah dijemput untuk mengetuai senamrobik ini.

Monday 2 July 2012

                              

 KEJOHANAN 1M1S,  BALAPAN DAN PADANG SMK TAPU KALI KE 2, 2012 DAN SUKANEKA PEMUAFAKATAN PIBG.

Kejohanan Padang dan  Balapan telah diadakan pada 27 dan 28 Jun, 2012. Antara acara balapan yang diadakan ialah 100m, 200m, 400m,
4 x 200m dan 4 x 100m. Sementara bagi acara padang pula ialah lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru dan lempar cakera. Penyertaan dari empat buah rumah yang disertai oleh pelajar amat menggalakkan. Dari kejohanan ini pelajar-pelajar dapat menonjolkan bakat dan beberapa
orang pelajar dikesan berbakat untuk diketengahkan.
Bagi kejohanan kali ini, rumah Hijau telah diumumkan sebagai Johan Keseluruhan dengan kutipan mata mengatasi rumah sukan yang lain.
Pada 30 Jun 2012, hari Sabtu pula diadakan Sukaneka Pemuafakatan PIBG, walaupun sambutan kurang memberansangkan tetapi kemeriahan dalam acara yang disediakan tetap menghiburkan. Antara aktivti yang disediakan seperti golek tayar, tiup belon untuk kanak-kanak, rakit darat dan acara tarik tali.
Tn.Hj.Idris Ismail, Yang DiPertua PIBG meluangkan masa untuk sama-sama menjayakan sukan yang diadakan. Beliau juga turut sama melepaskan peserta dalam acara yang disertai oleh penduduk dari kampung sekitar pada hari tersebut.

Monday 18 June 2012

Sambutan Hari Koperasi Sekolah Kali 1 - 14 Jun 2012.

Telah diadakan dengan meriah dan jayanya. Ahli Lembaga Koperasi Sekolah telah berjaya menganjurkannya. Pelbagai acara disediakan bermula dengan majlis perasmian oleh Pengetua, Hj.Shamsudin Abd.Rahman yang juga merangkap Pengerusi Koperasi sekolah dengan gimik membentangkan 'bunting' perasmian yang telah disediakan oleh jawatankuasa sambutan.
Majlis sambutan juga dimeriahkan lagi dengan jualan gerai dan Perkhidmatan mencuci kereta yang dikelolakan oleh pelajar sekolah. Selain itu, agensi luar juga mengambil bahagian untuk memeriahkan lagi majlis seperti pameran oleh AADK Daerah Hulu Terengganu dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Kolej Islam Sains Terengganu (KIST ). Hadirin juga dihiburkan dengan permintaan lagu dan ang karaoke yang disertai oleh pelajar.
Kehadiran ibubapa dan pelajar sekolah berhampiran menyerikan lagi majlis sambutan yang telah diadakan.

Sunday 20 May 2012

GEMA GAMELAN SMK TAPU

18 Mei 2012 bermulanya alunan irama gamelan di SMK Tapu.
Seramai sembilan orang pelajar dari Tingkatan Satu terpilih sebagai kumpulan pertama yang akan mengalunkan irama gamelan. Latihan secara intensif dilakukan kerana tanggal 24 Mei 2012 adalah merupakan tarikh pertama kumpulan ini akan mengadakan persembahan di dalam dewan sempena sambutan hari guru peringkat daerah Hulu Terengganu.
Dengan bantuan dari En.Suhaimi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak dan En.Yusri dari SMK Tg.Ampuan Intan. Pelajar-pelajar ini didedahkan dengan peralatan dan cara alatan ini dimainkan. Dengan minat dan ketekunan tenaga pengajar, akhirnya dalam masa 2 hari, pelajar-pelajar ini menguasai teknik permainan alat muzik gamelan dan lagu yang akan dimainkan pada sambutan hari guru itu nanti. Semoga kumpulan ini akan mempertingkatkan kemahiran dan akan terus bersedia untuk menerima jemputan dari mana-mana majlis yang memerlukan khidmat mereka.


Thursday 17 May 2012

SAMBUTAN HARI GURU

"GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"



16 Mei 2012 - SMK Tapu telah mengadakan sambutan Hari Guru pada Hari Rabu bermula jam 8.00 pagi. Majlis bacaan perutusan Menteri Pelajaran Malaysia dan KP Pengarah Pelajaran Malaysia diadakan. Pada majlis ini juga diadakan acara memotong kek Ucapan Selamat Hari Guru yang disediakan oleh Badan Pengawas Sekolah.
Selepas itu, sukaneka antara guru dengan pelajar juga telah diadakan. Acara sukaneka yang dipertandingkan  ialah antaranya kupas epal hijau, bowling kelapa, bola ping pong dalam sudu, belon air, jaring bola, rebut kerusi dan isi air dalam botol.
Kemudian diikuti pula dengan acara pentas. Persembahan  pelajar dan juga guru dapat menarik minat pelajar untuk terus memberi perhatian. Semoga semua guru akan terus meningkatkan pencapaian anak didik. SELAMAT HARI GURU. 

Galeri d'Tass untuk gambar sambutan 



PERTANDINGAN KECERIAAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT DAERAH

13 Mei 2012,- Beberapa orang guru yang terdiri daripada Guru Pengurusan dari sekolah daerah Hulu Terengganu telah melawat sekolah - sekolah di daerah ini. Lawatan ini adalah bagi menilai bilik - bilik yang terlibat dalam Pertandingan Keceriaan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah yang akan diadakan pada 21 Mei 2012 ini. Pada sambutan itu, sekolah yang berjaya akan diumumkan dan seterusnya penyampaian hadiah akan diadakan.
Bagi SMK Tapu, hanya empat buah bilik yang menyertai pertandingan ini. Antara bilik tersebut ialah Makmal Sains, Bilik Kaunseling Sekolah, Bilik Kesihatan dan Bilik Operasi buku Teks. Selama beberapa minggu guru dengan kerjasama pelajar bertungkus lumus untuk menyiapkan bilik. Segala kemahiran dicurahkan agar keceriaan bilik dapat diserlahkan. Kreativiti guru terserlah dan akhirnya tiba masa yang ditunggu, penilaian dibuat. Tahniah kepada semua guru yang terlibat, kemenangan adalah perkara ke dua yang penting keceriaan bilik tercipta. Demi keselesaan dan keceriaan.

klik untuk zoom

Monday 7 May 2012

PELAJAR DI PERINGKAT KEBANGSAAN.

Pelajar ini dihantar untuk menyertai aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan.
Mohamad Asfa Asyraaf Afizi telah menyertai Sambutan Penghayatan Marin Taman Laut Malaysia Peringkat Kebangsaan 2012,  di Taman Laut Pulau Payar, Langkawi.
Mohamad Syuaib Zakaria telah menyertai Ekspedisi Pendidikan Luar 1 Malaysia Murid Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2012 di Pusat Kokurikulum Melaka, Kampung Lanchang, Merlimau.
Sementara Mohamad Nasruddin Mohd Abdullah dan Siti Nor Faziral Zulkhpli pula telah menyertai Sambutan Hari Perhutanan Sedunia ke-41 Peringkat Kebangsaan 2012 di Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang, Taiping, Perak.
Beberapa kejayaan telah berjaya dicapai dalam aktiviti yang disertai, sepertimana sijil-sijil yang diperolehi oleh mereka. Tahniah.

 










Tuesday 24 April 2012

MINGGU PENCEGAHAN JENAYAH
SEMPENA BULAN DISIPLIN 2012

Anjuran Kelab Pencegahan Jenayah
           Tarikh : 24 April 2012
Hari    : Selasa
                  Tempat : Dewan SMK Tapu
                        Penceramah : Inspektor Firdaus Hj Mohd
                                             Pegawai Penyiasat Jenayah,
                                IPD Kuala Berang.
klik

Sunday 22 April 2012

Mencipta Kad Ucapan

    Sempena Hari Guru pada 16 Mei 2012, SMK Tapu telah mengambil langkah awal untuk memberi peluang kepada pelajar mengucapkannya kepada guru dengan mengadakan Pertandingan Mencipta Kad Ucapan Hari Guru mengikut kumpulan yang terdiri daripada 10 kelas dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.
Pertandingan ini telah diadakan pada hari Sabtu, 21 April 2012 yang lepas.
Sebahagian daripada gelagat pelajar yang dapat dirakam semasa berbincang untuk mencipta Kad Ucapan pilihan mereka.

                                                                                 klik

Senamrobik Peringkat sekolah

             Tarikh   :   21 April 2012 (Sabtu)
      Masa  :   8.00 - 9.00 pagi
                              Tempat :   Dataran Perhimpunan SMK Tapu
          Penglibatan   :   Semua warga SMK Tapu


 Instructor Jemputan :  Pn.Azmaniza binti Ahmad

klik